Ababil; Hikmah yang Dilupakan Muslim



PERISTIWA AGUNG DIRAKAM AL-QURAN

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”
(Surah al-Fil; 1-5)

Al-Quran telah merakamkan satu peristiwa penting yang berlaku beberapa ketika sebelum lahirnya Rasulullah SAW. Pendapat masyhur mengatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tahun yang sama lahirnya junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Disebabkan peristiwa ini, tahun tersebut digelar sebagai Tahun Gajah. Hanya kerana hasad dan dengki seorang raja bernama Abrahah terhadap Kaabah, maka timbullah perancangan jahat untuk memusnahkan Baitullah yang mulia ini. Semua ini bertitik tolak daripada kegagalannya mengalihkan tumpuan penyembahan bangsa Arab kepada gereja besar yang dibinanya di kota Sanaa, Yaman.
Menurut Tafsir Ibnu Katsir, gereja besar tersebut dinamakan al-Qulais, bangunannya sangat tinggi dan dipenuhi dengan pelbagai ukiran dan pahatan. Muqatil Ibnu Sulaiman ada menyebutkan bahawa ada seorang pemuda daripada kalangan Quraisy datang ke gereja tersebut dan membakarnya ketika cuaca pada waktu itu sangat panas, membuatkan gereja tersebut terbakar dalam tempoh masa yang singkat. Hal ini membuatkan Raja Abrahah marah dan tekad untuk memusnahkan Kaabah. Beliau menyiapkan bala tenteranya untuk menyerang Kaabah bersama seekor gajah besar bernama Mahmud. Bahkan ada pendapat lain mengatakan bahawa beliau membawa lapan ekor gajah yang lain bersamanya dan ada juga yang berpendapat beliau bersama 12 ekor gajah bergerak ke Mekah.
Namun, perancangan Allah nyata melangkaui perancangan si raja musyrik. Di saat masyarakat Arab Quraisy menyelamatkan diri masing-masing di tempat yang lebih selamat, Kaabah mendapat perlindungan langsung daripada pemiliknya, Allah SWT. Allah mengirim sepasukan burung yang membawa bersama batu-batu yang dibakar di paruh dan kaki-kakinya. Terdapat pendapat lain mengatakan batu tersebut adalah daripada tanah liat yang telah berubah menjadi batu. Batu-batu inilah yang telah menghancurkan Abrahah dan bala tenteranya.

APAKAH ABABIL SUATU SPESIES KHUSUS?

Ada yang beranggapan bahawa ‘Ababil’ merupakan satu spesies daripada spesies-spesies burung yang ada. Pelbagai pendapat telah dikeluarkan dalam membahaskan kalimah ‘Ababil’ ini sendiri. Kalimah ini turut dibahas panjang dalam Tafsir Ibnu Katsir. Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan ‘Ababil’ ialah yang banyak jumlahnya. Al-Kisai mengatakan bahwa beliau pernah mendengar sebahagian ulama Nahu mengatakan bahawa bentuk tunggal ‘ababil’ ialah ‘ibil’. 
Sa'id ibnu Jubair mengatakan bahawa kelompok burung ini berwarna hijau, sedangkan paruhnya berwarna kuning. Burung-burung ini silih berganti menyerang Abrahah dan bala tenteranya. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, dan Ata, bahawa bentuknya serupa dengan burung garuda yang dikenal di daerah Magrib. Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dari mereka.
Burung-burung ini datang berbaris bersaf-saf di atas mereka, lalu mengeluarkan suaranya dan menggugurkan batu-batu yang ada pada paruh dan kedua-dua kakinya. Setiap daripada burung tersebut membawa tiga biji batu yang terbahagi satu di paruhnya dan dua lagi di kedua-dua kakinya. Maka tiada sebiji batu pun yang menimpa kepala seseorang dari mereka melainkan menembusi duburnya, dan tidak sekali-kali batu itu mengenai sesuatu dari tubuh seseorang dari mereka melainkan tembus ke bagian lainnya. Demikianlah Allah memusnahkan mereka yang berniat jahat terhadap rumah-Nya.

HIKMAH; BARANG YANG HILANG DARI MUKMIN

“…Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.”
(ar-Ra’d; 3)

Jika diperhatikan, setiap kisah dalam al-Quran itu pasti ada hikmah di sebalik setiap penceritaan. Melalui surah al-Fil ini, digambarkan kisah tentera bergajah yang ingin meruntuhkan Kaabah tetapi ditewaskan oleh sepasukan burung yang membawa batu-batu kecil. Pernahkah kita terfikir, adakah relevan jika dikatakan burung seperti ini masih wujud pada zaman ini? Ya, sememangnya ia wujud tetapi selepas idea surah ini diterjemahkan kepada bentuk yang realistik oleh orang-orang bukan Islam. Cuba kita bandingkan, reka bentuk jet pejuang yang digunakan musuh-musuh Islam sekarang dan sifat fizikal ‘Ababil’ itu sendiri ketika menyerang tentera bergajah.
Jet pejuang ini mempunyai keupayaan yang sama dengan burung-burung Ababil, mampu melakukan ‘pengeboman’ udara dan mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat terhadap kawasan sasaran dan menyebabkan tentera-tentera lawan mati serta merta. Teknik ini telah pun digunakan Allah SWT sebagai contoh supaya difahami Muslim dan diikuti sunnah-Nya bagi mempertahankan diri apabila diserang. Tetapi malangnya apabila teknik ini mula dicerna oleh pihak Barat terlebih dahulu dan menyebabkan umat Islam kian ditindas. Padahal umat Islamlah yang lebih layak untuk mendapatkan pengajaran langsung daripada ayat-ayat Allah ini.
Pelbagai kajian yang dibuat oleh pihak Barat dalam mengaplikasikan teknik yang digunakan oleh Allah 1437 tahun yang lalu. Pada 1944, pihak Amerika Syarikat merancang sebuah projek yang dinamakan ‘Projek X-Ray’ yang melibatkan kelawar sebagai bahan uji kajinya. Projek ini pada asalnya sebuah bekas simpanan yang kelihatan seakan-akan bom yang mempunyai 26 bahagian di dalamnya, yang mana setiap satu bahagian mengandungi 40 ekor kelawar yang telah dilengkapkan dengan bom ‘napalm’ seberat 17 gram. Tetapi perancangan ini terbantut disebabkan satu kemalangan telah terjadi dalam siri ujian yang dijalankan di pengkalan tentera udara Amerika bertempat di Carlsbard, New Mexico. Selepas kajian demi kajian, akhirnya banyak teknologi-teknologi baru serta canggih yang berjaya dicipta oleh mereka dan menjadikan mereka sebuah kuasa besar dunia.

BANGKITLAH! KITA MASIH PUNYA MASA

Benarlah sabda Rasulullah SAW; “Al-Hikmah (kebijaksanaan/ilmu) adalah barang yang hilang daripada orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.” (Hadis riwayat Tarmizi). Pada zaman ini, Islam semakin hilang keizzahannya, musuh-musuh tidak lagi gentar dengan Islam. Umat Islam dizalimi dan ditindas di segenap pelosok dunia. Kini umat Islam sendiri dibom dan dihujani dengan senjata-senjata kimia dan senjata-senjata bersadur bahan nuklear oleh pihak-pihak tidak bertamadun ini. Ini semua kerana hilangnya nilai Islam dalam diri Muslim itu sendiri. Betapa banyak aliran dan pemikiran asing yang telah meracuni fikiran umat Islam sekarang, menghapuskan segala ajaran Islam yang sebenar.
Ayuhlah bangkit wahai yang bergelar Muslim! Masih tidak cukupkah mukjizat agung al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan Rasulullah SAW sebagai pegangan kita? Tinggallah Islam terus tenggelam apabila al-Quran ditinggalkan hanya pada amalan pembacaan, bukan pemahaman dan diambil pengajaran. Kini barat menguasai hampir semua ramalan dan apa saja yang disebut dalam al-Quran kecuali iman. Sebutlah apa saja dan pandanglah apa yang terbaik dan bermoral yang terdapat di barat, semuanya telahpun disebut dan dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, lebih-lebih lagi ayat-ayat yang mengajar dan menunjukkan kepada kemajuan dan apa yang boleh dan mampu dicapai oleh umat manusia melalui pengetahuan sains dan teknologi.
Justeru, sekiranya kita adalah penuntut ilmu sains, gigihlah dalam mendalami ilmu-ilmu ini. Buanglah segala pemikiran yang mengatakan bahawa Muslim hanya layak menguasai ilmu agama, kerana secara tepatnya, semua jurusan ilmu itu sebenarnya milik kita!


Rujukan:


 [Copas - copy and paste]

Comments

Popular posts from this blog

Lirik Qasidah Rindu Madinah

Lirik Qasidah Mahabbah Rasul

Lirik Qasidah Diciptaku Untuk Menyintaimu (SAW)